PEMUDA UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak menghormati institusi raja dan akan terus menegur mana-mana individu atau parti yang melakukan sedemikian.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata sayap itu juga menyarankan satu undang-undang khas digubal untuk mengawal sebarang tindakan tidak beradab malah derhaka terhadap institusi Raja-Raja Melayu sejajar dengan prinsip Rukun Negara.
Ini kerana, ujarnya, institusi raja bukan modal untuk sesiapa meraih dividen politik bagi survival mana-mana individu atau parti malah ia harus dimartabat, dipelihara dan dihormati.
“Kenyataan yang dibuat oleh beberapa pimpinan politik terhadap institusi raja baru-baru ini menunjukkan satu sikap yang tidak beradab dan mewujudkan prasangka terhadap institusi raja-raja.
‘’Pertama berhubung kenyataan sinis Tan Sri Abdul Hadi Awang yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan Sultan Selangor dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.
‘’Kedua berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyatakan Agong telah melangkaui batas susulan titah baginda semasa pembukaan parlimen lalu,’’ katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.