KETUA Pemuda, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh semalam mengesyorkan supaya Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini menyaksikan kerjasama politik partinya dan PAS, dihidupkan semula.
Reaksi EXCO Melaka itu susulan situasi di Perlis selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikatakan menghantar akuan bersumpah (SD) kepada pihak istana kerana hilang kepercayaan kepada pimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli daripada PAS yang mungkin menyaksikan pilihan raya kecil (PRK) di tiga kerusi.
“Alang-alang bubar sekalilah Perikatan Nasional (PN), kita wujudkan semula Muafakat Nasional (MN). Amacam?”, soal Dr Muhamad Akmal.
Beliau meneruskan hantaran di Facebooknya dengan nada sindiran, mengingatkan bahawa sejak dahulu lagi ada peringatan supaya MN diperkuatkan.
Ahli Majlis Tertinggi parti, Datuk Puad Zarkashi pula berkata, Pas perlu bersifat ‘gentleman’ dengan menyerahkan kerajaan Perlis untuk ditadbir oleh Bersatu kerana kedua-duanya adalah parti yang bergabung di bawah Perikatan Nasional (PN)
“Lepaskan sahaja kepada Bersatu. Jangan biarkan pentadbiran negeri tergantung. Utamakan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
