Zahid tarik balik sebutan ‘team’ dalam DAP

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataan berhubung kewujudan `Team A’ dan `Team B’ di dalam DAP sekiranya ia menyinggung pemimpin parti berkenaan.

Menurutnya, apa yang dimaksudkan berhubung perkara itu adalah bagi menjelaskan terdapat kenyataan-kenyataan yang bercanggah daripada segelintir kecil kepimpinan DAP terhadap isu yang dibangkitkan Pemuda UMNO sebelum ini.

“Jadi itu cuma satu gambaran, bukan satu keabsahan kewujudan team (kumpulan) dalam DAP.

“Jika itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu.

“Tetapi tidak langsung menjadi maksud kepada saya untuk menggambarkan terdapat atau wujud dua kem dalam DAP, cuma mungkin terdapat perbezaan pendapat yang kecil,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.