VETERAN UMNO mencadangkan supaya DAP segera keluar dari barisan kabinet kerajaan tanpa perlu menunggu keputusan sidang kongres khasnya pada Julai depan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia susulan desakan DAP sebelum ini yang memutuskan mahu berundur dari kabinet dalam tempoh enam bulan sekiranya kerajaan enggan mengiktiraf sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Veteran yakin DAP mempunyai prinsip dan bermaruah. Adalah amat memalukan sekiranya DAP tidak menunaikan kata-katanya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kongres Khas DAP yang akan berlangsung 12 Julai depan dijangka mengadakan perbincangan berhubung peranan parti dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Jumaat berkata, parti itu akan mengadakan kongres khas bagi membolehkan perwakilan parti menentukan sama ada pemimpin parti dalam kerajaan harus meletak jawatan atau tidak.
Anthony juga menyifatkan kongres berkenaan sebagai ‘referendum’ dalaman dengan menekankan bahawa sekiranya perwakilan parti memutuskan untuk menarik diri daripada peranan eksekutif, 40 ahli Parlimen DAP masih akan menyokong kerajaan yang dipimpin Anwar sehingga pilihan raya umum akan datang.
