UMNO menghormati keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun namun dalam masa sama terus kekal menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya sudah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai tindakan mereka yang dikaitkan dengan sikap Aminuddin membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, katanya, satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan (PH) harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu yang membabitkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.
“Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
