BN hampir pasti turun solo pada PRU-16

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) hampir pasti bergerak solo menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu berkata, parti berkenaan bagaimanapun tidak boleh bertanding semua 222 kerusi Parlimen.

“Selama ini pun memang kita bergerak solo, iaitu pada PRU14 dan PRU15. Dalam keadaan akan datang, hampir pasti kita akan bergerak solo.

“Namun, kita ambil kira understanding (persefahaman) dengan parti-parti lain (luar BN), khususnya untuk mengelakkan pertindihan kerusi dan pertandingan tiga penjuru,” katanya.

Menjelaskan demikian pada sesi temu bual eksklusif dengan wartawan Media Prima sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam, beliau menambah, ketetapan tidak bertanding semua kerusi mengambil kira persefahaman dengan parti rakan.

“Pendekatan ini selari pengalaman UMNO dalam dua pilihan raya lalu, selain mengambil kira perjuangan semasa,” kata Timbalan Perdana Menteri dan menjelaskan strategi itu bagi memastikan UMNO menang semua kerusi yang diyakininya menang.

“Kita tidak perlu bertanding semua 222 kerusi. Kita bertanding kerusi yang kita boleh menang dan tidak berlawan dengan parti sahabat. Pertandingan banyak penjuru hanya akan melemahkan peluang mana-mana parti untuk raih kemenangan dominan.

“Jika terlalu banyak penjuru, ini tidak akan menjanjikan kemenangan kepada mana-mana gabungan,” katanya menambah pendekatan politik UMNO kekal fleksibel dalam memilih rakan kerjasama.

Bagaimanapun, tegasnya, parti tidak berkompromi dalam soal prinsip membabitkan kepentingan Islam, institusi Raja dan hak serta bahasa Melayu, iaitu garis asas tidak boleh dikompromi dalam apa jua bentuk kerjasama politik.

“Empat perkara ini bukan sekadar agenda Melayu atau Islam, tetapi agenda nasional yang termaktub dalam Perlembagaan dan dipersetujui dalam kerangka Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Katanya, dalam landskap politik semasa yang dinamik, UMNO perlu menyesuaikan strategi dari semasa ke semasa, termasuk membuka ruang kerjasama selepas menyeberang apa yang dirujuknya sebagai ‘jambatan politik’.

Mengenai kedudukan MCA dan MIC, beliau menegaskan, dua komponen itu tidak mempunyai sebarang masalah dalam BN walaupun terdapat desas-desus berhasrat meninggalkan gabungan berkenaan.