Umno tiada hasrat jadi pembangkang di N9

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu kekal sebahagian kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan dan tidak pernah membincangkan pengganti Menteri Besar Aminuddin Harun.

Bercakap kepada media selepas satu majlis, Zahid berkata pihaknya tidak berminat menjadi pembangkang seperti disuarakan oleh Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias, Sabtu lalu.

“Kita tiada niat nak jadi pembangkang, itu satu sebuah kenyataan sahaja.

“Tapi Umno pusat telah memutuskan 14 Adun di Negeri Sembilan itu tetap menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya.

Minggu lalu, 14 Adun BN Negeri Sembilan mengisytiharkan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin susulan dakwaan kegagalannya menguruskan krisis institusi di negeri itu sehingga menjadi perdebatan umum.

Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah krisis berterusan melibatkan empat pembesar yang mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Jalaluddin pada Sabtu berkata pihaknya rela menjadi pembangkang daripada bersama Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran kerajaan susulan krisis adat dan perlembagaan di negeri itu.

Menurutnya, ini kerana mereka tidak rela melihat sahaja kesilapan yang dilakukan oleh Aminuddin.

Berhubung kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan PRN mengejut, pengerusi BN itu berkata parti komponennya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.

“Semua parti telah bersiap sedia dan paling penting apabila mandat kepada rakyat ini kita serahkan semula, maka rakyat harus memilih kombinasi terbaik,” katanya.