PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan perkembangan politik semasa berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Perdana Menteri berkata beliau berharap perbincangan itu dapat berlangsung secara harmoni demi kepentingan bersama kedua-dua pihak.
“Saya harap walaupun pengumuman sudah dibuat (oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam), saya akan jumpa Presiden UMNO, runding baik-baik, nak rebut apa? Di mana yang kita silap… (kita) sudah tolong banyak, tolong semua.
“Kalau berebut, di bawah bergaduh… ambil ikhtiar… apa yang penting adalah ikhtiar kita untuk menolong rakyat,” katanya Ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Negeri Johor di Dewan Terbuka Program Perumahan Rakyat Taman Desa Mutiara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Onn Hafiz semalam bahawa UMNO dan BN bersedia bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN Johor selepas mendapat persetujuan pucuk pimpinan parti.
Anwar turut menyeru pengundi supaya memberikan sokongan padu kepada calon PH sekiranya gabungan itu bertanding.
Beliau turut mengingatkan semua pemimpin politik supaya sentiasa turun padang menyantuni masyarakat secara konsisten, bukannya hanya muncul ketika musim pilihan raya.
Perdana Menteri berkata keikhlasan dalam berkhidmat amat penting dan pemimpin tidak sepatutnya “berebut” untuk menabur bakti hanya apabila menjelang tempoh pengundian.
