KUALA LUMPUR, 12 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Dap, Tony Pua, susulan hantaran di Facebook yang didakwa mempersendakan institusi Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pengampunan bersyarat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Menurut beliau, tindakan Tony Pua bukan sahaja mempersendakan institusi diraja, malah turut mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan.
Beliau berkata, kenyataan tersebut turut mengundang komen-komen menghina seorang Raja Berdaulat daripada pengguna media sosial.
“UMNO ingin bertanya, apakah pihak berkuasa kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Peguam Negara boleh membiarkan perkara seumpama ini berlaku?” katanya.
Asyraf Wajdi menegaskan, kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas hanya akan memberikan isyarat salah bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri takut untuk bertindak terhadap Dap.
Malah, beliau mendakwa tindakan sedemikian bukanlah kali pertama Tony Pua menyentuh sensitiviti institusi Raja-Raja Melayu.
Katanya, sebelum ini Tony Pua juga pernah mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung penghayatan terhadap Rukun Negara.
“Kebiadapan melampau ini tidak boleh dimaafkan, tetapi mesti dikenakan tindakan tegas,” tegas beliau.
Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan pihak berkuasa bertindak dikhuatiri boleh mencetuskan kemarahan orang Melayu sehingga membawa kepada keadaan yang tidak dapat dijangkakan.
Justeru, katanya, UMNO mahu pihak berkuasa memandang serius perkara tersebut dan tidak membiarkan isu yang menyentuh institusi Yang di-Pertuan Agong berlarutan tanpa tindakan. – UMNO Online
