KOTA MELAKA, 12 Nov – Dap hari ini dilihat bermain wayang politik apabila kononnya perletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dianggap sebagai satu langkah berprinsip.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata persoalan itu timbul apabila hanya seorang sahaja yang mengambil langkah sedemikian.
“DAP bercakap pasal prinsip, apa pasal satu kawan saja berhenti? Berhentilah semua…Ini tak ada kena-mengena dengan prinsip.
“Kalau meletakkan jawatan kerana itu, jelas sekali ia jatuh dalam kategori mempersoalkan hak mutlak Tuanku Agong, yang ternyata jelas dalam Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sembang di PDM Duyong, di sini, malam tadi.
Mohamad seterusnya menegaskan jika parti berkenaan benar-benar bercakap soal prinsip sepatutnya langkah tersebut perlu diambil oleh semua pimpinan di dalam kerajaan.
“Kalau betul-betul DAP bercakap pasal prinsip, apa pasal satu kawan saja berhenti? Berhentilah semua, keluar daripada kerajaan. Ha, itu baru prinsip.
“Kalau setakat satu orang saja, itu macam tak mendalamkan air. Macam rebas ataupun hujan renyai-renyai saya datang tadilah, tak membasahkan badan.
“Jadi janganlah kita terpesona sangat dengan wayang-wayang, sandiwara-sandiwara ini,” tambahnya.- UMNO Online
