DAP dan Pendirian Tentang LTTE

1. Selepas penangkapan beberapa ahli politik DAP yang disyaki terlibat dengan kegiatan mempromosi, menyokong dan memiliki bahan serta mengagihkan dana yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), DAP harus menjelaskan kepada rakyat Malaysia perkara-perkara berikut;

2. Pertama, mengapakah sosok-sosok utama DAP seperti Charles Santiago, P. Ramasamy dan M. Kulasegaran beriya-iya menidakkan dan mempersoal penahanan beberapa ahli politik parti mereka? Santiago turut menyoal pendirian Malaysia terhadap kumpulan pengganas terbabit dan mendakwa bahawa perjuangan LTTE adalah sama seperti perjuangan di Palestin, yang menuntut kebebasan.

3. Malah, Lim Guan Eng juga dengan secara tidak malu, memberikan kenyataan bahawa pihak polis akan memberhentikan penangkapan ahli politik DAP walhal pihak PDRM menafikan dengan sekerasnya kenyataan itu. Hal ini menimbulkan pertanyaan adakah DAP mempunyai sebarang pengetahuan terhadap kelakuan ekstrem ahli-ahli mereka dalam menggerakkan LTTE? Dan jika ia mempunyai pengetahuan tentang penglibatan beberapa ahlinya menghidupkan semula LTTE, apakah yang telah DAP lakukan untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa?

4. Kedua, mengapa DAP perlu bersikap prejudis, ‘double standard’ dan menyerang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pengendalian kes ini? Wibawa apa yang dipunyai oleh DAP dalam hal-hal keselamatan sehingga mereka dengan lantang sekali mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam hal ini. Adakah laungan ‘rule of law’ hanya terpakai kepada pihak lain dan DAP serta pemimpinnya kebal dari tindakan undang-undang? Amat pelik juga apabila Lim Kit Siang tanpa segan menyarankan pihak polis untuk menjadi lebih telus dalam menjalankan tugas mereka.

5. Ketiga, wujud juga pimpinan DAP yang berpendapat bahawa kumpulan LTTE itu telah tidak aktif lagi, maka sebarang kaitan terhadapnya tidak akan menimbulkan sebarang kemudaratan. Pemikiran sebegini amat merbahaya kerana ideologi yang ekstremlah yang telah menjadikan LTTE itu dikategorikan sebagai organisasi pengganas. Justeru, dengan ideologi yang ekstrem itulah, LTTE boleh dihidupkan kembali.

6. Sebagai sebahagian dari kerajaan, DAP wajib menghormati pasukan risikan dan keselamatan negara. Mempersoalkan mereka adalah mempersoalkan integriti dan wibawa Kerajaan itu sendiri. DAP mesti memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mereka tanpa sebarang kompromi. Jika DAP terus mempolitikkan perkara ini, DAP pasti mempunyai sesuatu yang disembunyikan.

7. Oleh yang demikian, saya menyeru PDRM juga menyiasat, jika wujud hubungan antara DAP dalam apa bentuk sekalipun dengan LTTE. Kita tidak mahu mana-mana pihak, secara tersembunyi, menyokong ideologi yang ekstrem dan menjadikan Malaysia ‘negara’ yang memberikan naungan kepada kegiatan mereka.

Mohamed Khaled Nordin (MKN)
Naib Presiden UMNO


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.