Universiti Malaya Dalam Krisis Kewibawaan

Tindakan Wong Yan Ke, graduan kejuruteraan Universiti Malaya(UM) semasa Majlis Konvokesyen Universiti Malaya semalam adalah tindakan yang tidak mempunyai tatasusila dan mesti dikecam.

Ia sangat bertentangan dengan nilai, adab dan kesopanan masyarakat timur.

Apa jua protes yang ingin dizahirkan terhadap Naib Canselor mestilah dipandu dengan nilai dan tatasusila yang mencerminkan keperibadian dan pendidikan beliau. Menurut biar berakal, menentang biar beradab.

Benarlah kebimbangan saya yang disuarakan sebelum penganjuran Kongres Maruah Melayu sebelum ini.

Bahawa UM dan IPTA yang bersekutu dengannya, dengan menganjurkan Kongres tersebut, akan menjerumuskan wibawa universiti ke tahap yang sukar dipertahankan.

Tindakan UM telah mengundang protes, bantahan dan cemuhan yang telah merencatkan nama baik UM. Dan ia akan terus menghantui UM jika tiada usaha pencerahan dilakukan segera.

Sebagai alumni Universiti Malaya, saya menyeru agar kepimpinan tertinggi UM tampil dan meyakinkan negara ini, bahawa misi nasional UM akan diperteguhkan lagi natijah dari episod yang sangat memalukan ini.

Universiti Malaya sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi nasional yang bebas, berpendirian dan teguh dengan tradisi intelektualnya mesti menjadi jantung hati Malaysia selamanya.

Mohamed Khaled Nordin (MKN)
Naib Presiden UMNO dan Alumni Undang-Undang Universiti Malaya


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *