Keadilan Adib Yang Masih Tertangguh

Assalamualaikum WBT

1.Alhamdulillah.Mahkamah Koroner, Rofiah Mohamad telah memberikan keadilan kepada kematian Mohamad Adib Mohd Kasim Ahli Bomba yang cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

2.Dalam pada itu , saya ingin menzahirkan rasa tahniah dan syabas kepada Hakim Mahkamah Koroner Yang Arif Rofiah Bt Mohamad kerana membuat satu keputusan yang tepat dan keputusan ini boleh dikatakan keputusan terbaik dalam beberapa sudut termasuk dalam sudut keamanan dan keselamatan negara.Jelas mahkamah telah menegakkan keadilan tanpa rasa takut dan jelas bebas dari pengaruh Peguam Negara berdasarkan affidavit terdahulu yang mana Peguam Negara telah membuat satu keputusan Pra Matang yang menyatakan kematian Adib bukan sebab dipukul. Sudah pasti selama 41 hari perbicaraan itu merupakan masa yang cukup mencabar buat seorang Hakim yang memerlukan penelitian yang adil dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

3.Keadilan telah ditegakkan Kedaulatan undang-undang telah dijulang.Akhirnya terjawab segala polemik punca kematian Adib.Proses inkues selama 41 hari telah mendapati perkara pokok dalam punca kematian Adib iaitu Kematian Adib berpunca dari lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

4.Perbicaraan Inkues hanyalah untuk mencari punca kepada kematian.Jauh lebih penting ialah untuk menghukum pelaku atau pembunuh yang menyebabkan kematian Adib.Oleh itu sekali lagi kita mengharapkan pihak Polis menyegerakan siasatan terhadap pelaku-pelaku yang terlibat dan segera untuk tindakan seterusnya mengheret mereka ke mahkamah.

5..PDRM juga perlu menyiasat para penghasut yang menyemarakkan keadaan perusuh ketika insiden yang berlaku di kuil pada malam Adib dipukul tanpa rasa takut walaupun mereka terdiri daripada orang-orang kenamaan samaada Exco Kerajaan Negeri mahu pun Menteri.

6.Kekhuatiran saya adalah tentang pendakwaan terhadap pembunuh Adib. Mampukah Peguam Negara bersikap berkecuali? .Ini disebabkan sikap prejudis dan tidak berkecuali di dalam kes ini yang ditunjukkan sejak awal kes berlangsung termasuk ketika dan sepanjang perbicaraan.Peguam Negara telah prejudis sejak awal.Oleh itu bagaimana beliau boleh bersikap berkecuali lagi?

7. Dari sebab itu,Saya melihat Peguam Negara tidak lagi boleh terlibat dalam kes ini.Peguam Negara telah tidak menunjukkan sikap profesional beliau semasa mengedalikan kes inkues ini malah telah memalukan Institusi Jabatan Peguam Negara dan Jawatan Peguam Negara itu sendiri dan seterusnya Kominiti Perundangan seluruh Malaysia.

8.Saya melihat kewajaran Kerajaan PH melalui Perdana Menteri untuk menasihati YDP Agong agar Peguam Negara dipecat dan ditamatkan perkhidmatan beliau.Atau wajar Peguam Negara segera meletak jawatan setelah mengetahui keputusan inkues pada hari ini dan ianya bertentangan dengan kenyataan yang pernah beliau keluarkan ketika proses perbicaraan inkues berlangsung dan kegagalan beliau melakukan tugas sebagai seorang Peguam Negara.

9.Walau keputusan hari ini merupakan satu berita gembira buat keluarga Adib dan seluruh rakyat Malaysia tetapi harus diingat bahawa proses keadilan untuk Adib masih tertangguh.Keadilan sebenar adalah apabila mereka yang bertanggungjawab mendapat balasan yang setimpal dengan berbuatan mereka.

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob
Naib Presiden UMNO
Ketua Pembangkang Malaysia

28 Muharram 1441H/28 September 2019


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.