Kes Adib: Keadilan Yang Harus Dituntut Dari Semua Pihak

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersyukur dan menyambut baik keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang telah memutuskan bahawa kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca dari perbuatan jenayah akibat dipukul. Berasaskan keputusan ini Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini mendesak beberapa perkara berikut diambil tindakan segera:

(1) Menggesa Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas MELETAKKAN JAWATAN dan MEMINTA MAAF secara TERBUKA diatas KEKHILAFAN BESAR kerana memfailkan afidavit yang berunsur skandal dan subjudis dengan mengambil posisi bahawa Adib TIDAK DIBUNUH yang jelas mendahului prosiding Inkues.

(2) Menyarankan pihak Polis mengambil tindakan segera tanpa menangguh lagi untuk mengenalpasti dan menyiasat suspek-suspek yang bertanggungjawab ke atas kematian arwah Adib.

(3) Mendesak agar pihak Berkuasa turut menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mencetuskan dan membuat kenyataan berunsur hasutan sehingga berlakunya rusuhan pada malam kedua di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield sehingga menyebabkan kematian arwah Adib.

(4) Mendesak Exco DAP Selangor V. Ganabatirau untuk meletakkan jawatan secara terhormat dan diambil tindakan tegas dari segi undang-undang kerana bertanggung jawab mengeluarkan kenyataan jahat mendakwa orang Islam menyerang Kuil Sri Mariaman sehingga mempengaruhi 10,000 masyarakat Hindu untuk keluar merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman pada malam arwah Adib dibunuh.

(5) Mendesak 4 orang Menteri iaitu M. Kulasegaran, P. Waytha Moorthy, Gobind Singh Deo dan Xavier Jayakumar disiasat dan dipertanggungjawabkan kerana mengeluarkan kenyataan bersama berbaur hasutan sehingga menyemarakkan lagi api kemarahan masyarakat Hindu untuk keluar berkumpul beramai-ramai merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman pada malam kedua yang telah mengakibatkan arwah Adib dibunuh.

Dengan ini Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekali lagi secara tegas mendesak kerajaan dan pihak berwajib mengambil tindakan tanpa pilih kasih supaya keadilan terhadap arwah Adib yang lama tertangguh dapat disegerakan!

Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

27 September 2019


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.