Wabak koronavirus atau “2019-nCoV” menjadi perbualan dan diskusi hangat rakyat tanpa mengira umur, status dan jantina terutamanya di kalangan warganet. Ini menunjukkan tahap kesedaran rakyat terhadap bahaya wabak ini amat tinggi. Wabak ini buat pertama kalinya dikesan di Wuhan, China. Pada peringkat awal penularan wabak ini kurang mendapat perhatian, namun hari ini wabak ini telah bertukar menjadi kebimbangan bahkan menimbulkan ketakutan di peringkat nasional dan global kerana penularannya berlaku dengan pantas merentasi sempadan negara.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengisytiharkan wabak koronavirus yang telah meragut sekurang-kurangnya 170 nyawa sebagai kecemasan kesihatan global. Ini berikutan kes berkaitan wabak berkenaan meningkat lebih 10 kali ganda dalam tempoh seminggu. Adakah pandemik baharu ini akan terus merebak dan meragut ribuan nyawa manusia sebagaimana pandemik selesema Sepanyol pada tahun 1918 dan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2002 hingga 2003 yang mengorbankan hampir 800 nyawa di seluruh dunia?
Setelah menyaksikan pelbagai andaian dan pandangan bersifat politik oleh kalangan pemimpin kerajaan berkaitan dengan wabak ini. Rakyat bangkit dan mendesak agar kerajaan mengambil tindakan proaktif dan agresif bagi menangani wabak ini daripada terus merebak. Tahniah kepada rakyat Malaysia, akhirnya kerajaan akur dan menghalang kemasukan pelawat rakyat negara China, khususnya dari bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di sekelilingnya.
Saya berpandangan penularan wabak koronavirus perlu ditangani berlandaskan nilai manusiawi yang melangkaui politik dan kepentingan. Diakui industri pelancongan adalah antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara. Tahun ini kerajaan mensasarkan sebanyak 30 juta pelancong. Statistik Tourism Malaysia juga menunjukkan jumlah ketibaan pelancong dari China meningkat daripada 1.61 juta pada tahun 2014, kepada 2.94 juta pada tahun 2018. Peningkatan pertumbuhan ekonomi penting, tetapi dalam situasi sekarang, mengekang daripada merebaknya wabak koronavirus lebih utama. Kemasukan pelancong dari China perlu dihalang bukan bermaksud mereka menjadi mangsa diskriminasi. Tetapi sebagai langkah pencegahan bertepatan dengan kaedah Mencegah lebih baik daripada mengubati “Al Wiqayah Khairun Minal ‘Ilaj”.
Pencegahan awal adalah langkah terbaik, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jika kamu mengetahui wabak taun berlaku di sesuatu kawasan maka janganlah kamu memasukkinya. Jika ia berlaku di sesuatu kawasan yang kamu diami maka janganlah kamu keluar dari kawasan itu” (riwayat al-Bukhari. bab Ma Yuzkar Fi al-Ta’un. No. 5396). Saidina Umar pernah satu ketika dalam perjalanan menuju ke Syam atas suatu urusan, beliau telah diberitahu bahawa Syam sedang dilanda wabak taun. Setelah perbincangan dibuat, beliau telah mengambil keputusan untuk tidak memasuki Syam. Bahkan beliau telah berpatah balik sebagai langkah pencegahan.
Rasulullah SAW dan sahabat r.a mengutamakan pencegahan sebagai usaha awal bagi mengekang wabak dari merebak dan berjangkit. Bukannya tunggu dan lihat atas kepentingan politik, bahkan ada yang sanggup menuding jari kepada orang lain bagi menutup kelemahan sendiri seperti kenyataan yang menyalahkan kerajaan terdahulu kononnya tidak pernah menghalang dan melakukan pencegahan ketika berhadapan ancaman wabak virus. Dakwaan ini tidak berasas, semata-mata bagi menutup kelemahan sendiri. Bagi mendapatkan kebenaran disebalik dakwaan tersebut, boleh dirujuk artikel yang bertajuk “Malaysia sets travel restrictions in effort to limit spread of SARS” di laman sesawang https://www.wsj.com/.
Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang digubal oleh kerajaan terdahulu merupakan salah satu langkah pencegahan bagi mengekang penyebaran berita tidak benar dan palsu di media sosial yang jelas bertentangan dengan nilai manusiawi. RUU tersebut digubal kerana undang-undang sedia ada seperti Akta Kanun Acara Jenayah dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tidak memadai untuk mengekang penyebaran berita palsu. Baru-baru ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan kandungan yang tidak benar dan fitnah berkaitan wabak koronavirus. Situasi ini menggambarkan ada kebaikan di sebalik penggubalan RUU Antiberita Tidak Benar oleh kerajaan terdahulu yang telah dimansuhkan oleh kerajaan hari ini.
Dalam keresahan menghadapi wabak koronavirus, situasi politik negara juga tidak menentu. Persoalannya, bilakah situasi politik tanah air akan kembali tenang dan aman tanpa provokasi? Rakyat sudah cemuh dengan provokasi politik berkepentingan yang melangkaui batasan nilai manusiawi. Kadangkala di peringkat kepimpinan pun terkeliru untuk membuat pilihan dan tindakan, mana yang terbaik? Saya acapkali tegaskan bahawa melalui Muafakat Nasional, UMNO, BN dan PAS mampu memecahkan kebuntuan dan kekeliruan dan provokasi politik. Nilai manusiawi adalah keutamaan Muafakat Nasional mengatasi politik kepentingan. Langkah pencegahan perlu diambil jika berlaku sesuatu yang merugikan Muafakat Nasional.
Tindakan yang berkait dengan pencegahan memang sangat dituntut oleh Islam dan bertepatan dengan kaedah Usul Fiqh menyekat pintu kerosakan “sadd al-dhari’ah”. UMNO akan pertahankan dan menyekat sebarang usaha yang dilakukan pihak tertentu untuk pecah dan perintah “divide and conquer” kesepaduan dan agenda besar Muafakat Nasional.
Konvensyen Muafakat Nasional peringkat Negeri Perak yang diadakan pada minggu lepas di Bagan Datuk jelas menunjukkan betapa komitednya ahli dan kepimpinan UMNO dan PAS dengan agenda Muafakat Nasional. Ribuan hadir dengan hadaf yang sama iaitu muafakat menuju kemenangan. Insya-Allah konvensyen seumpama ini akan terus diadakan bagi menyemarakkan lagi roh Muafakat Nasional kepada seluruh rakyat. Marilah kita sama-sama memohon, berdoa dan bermunajat ke hadrat Ilahi agar negara ini terus terpelihara dan dilindungi daripada penularan wabak koronavirus.
AHMAD ZAHID HAMIDI
#salammuafakatnasional
#umnosebuahperjuangan
#muafakatnasionalpemacupolitikmalaysia
#muafakatmenujukemenangan
#Secangkirkopi43