KUALA LUMPUR, 19 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar kerajaan mendengar keluh kesah rakyat yang hari ini rata-rata berada di dalam kesusahan dan percaya moratorium dan i-Sinar 2.0 antara yang diperlukan mereka ketika ini.
Tegas beliau apa yang berlaku dan perkembangan terkini daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah keluhan daripada pemandu teksi dan sebagainya lagi menyerlahkan segala-galanya.
“Ini antara bukti…saya bukan mengada-adakan cerita tentang kesukaran hidup rakyat. Pemandu teksi rayu diberi bantuan akibat ‘total lockdown’ suam-suam kuku.
“Majoriti mereka mengeluh kehilangan pendapatan lebih 80 peratus. Ada teksi sudah kena tarik kerana tidak mampu bayar sewa bulanan.
“Sejak PKP 3.0 ada yang hanya peroleh RM10 sehari dan kadang-kala satu sen pun tiada. Mana yang bernasib baik dapat kerja sebagai pengawal keselamatan untuk sara keluarga. Itupun bagi yang masih muda dan kuat. Yang sudah berusia tidak tahu bagaimana, katanya menerusi catatan di Facebook.
Tambah Ahmad Zahid mungkin keluhan mereka kurang didendang, tetapi pemandu teksi juga ‘frontliners’ apabila enghantar orang ke sana sini.
“Pemandu teksi mohon moratorium diberi untuk tempoh enam bulan sehingga hujung tahun ini. Kita harap kerajaan dengarilah keluh kesah rakyat yang sedang dalam kesusahan.
“Walaupun keluhan ini dilontarkan di Johor, saya percaya keadaan yang sama di tempat lain. Moratorium dan i-Sinar 2.0 antara yang diperlukan rakyat ketika ini,” jelasnya.- UMNO Online