KUALA LUMPUR, 1 Jun – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN bukan sekadar sebuah perikatan politik bahkan ia boleh ditamsilkan sebagai ‘sebuah idea’.
Katanya, atas sifat ‘idea’ yang berevolusi dan sentiasa bercambah, BN adalah sebuah pemikiran kesepakatan, kesatuan dalam kepelbagaian dengan budaya dan pendekatan politik yang progresif.
Jelas Timbalan Presiden UMNO itu, ini terbukti kewujudkan BN adalah sebagai solusi politik dampak peristiwa 13 Mei 1969.
“BN terbit sebagai sebuah idea untuk menguruskan negara pasca konflik. Ia tidak ditubuhkan hanya kerana sekadar untuk mengejar kuasa, dibuai dengan ‘kewangan yang maha berkuasa’ mahupun sekadar membentuk kerajaan.
“BN lahir untuk memulihkan negara yang parah dan terjejas akibat konflik perkauman. Semenjak tertubuhnya BN ia mempelopori pelbagai idea bernas. Perkongsian kuasa, politik pembangunan, pengagihan kekayaan dan pembasmian kemiskinan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen BN di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Tambahnya, jika dahulu BN terbit dari sebuah idea perkongsian kuasa maka idea BN untuk Malaysia kurun ke- 21 ini pula adalah kesepakatan untuk kemakmuran.
“Sudah tentu kekuatan dalam kepelbagaian. Dan yang jelas BN adalah sebuah idea tentang kestabilan, kemakmuran dan keadilan.
“Kita mesti sebarkan secara luas, agresif dan menyeluruh bahawa BN ini bukan sekadar persekutuan politik. Tetapi sebuah idea yang kalis zaman, tentang sebuah kesepakatan politik untuk sebuah negara kesepakatan.
“Ia adalah cita-cita untuk sebuah negara yang adil dan makmur. Kuasa dikongsi, kekayaan diagih, kemiskinan dibanteras, kepelbagaian dirai. Kita mesti menggembleng segenap kudrat untuk menyingkirkan persepsi kuasa, korupsi dan kebejatan moral sebagai sesuatu yang sinonim dengan BN,” katanya.
Dalam ucapannya juga, Mohamad turut mengingatkan pendukung parti agar tidak leka dibuai nostalgia bahawa BN akan memerintah semula hanya kerana sekarang menjadi sebahagian dari kerajaan ketika ini.
“Apa yang berlaku dalam semua kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor bukan jaminan bahawa BN akan pasti menang dan menguasai kerajaan dengan mudah.
“Jika kita beranggapan sedemikian, maka saya tegaskan hari ini bahawa anggapan seperti itu bukan sahaja salah malah berbahaya dan berisiko kepada BN,” tegasnya.
Ulasnya, tanggapan sebegitu perlu dibuang segera kerana pasca 2018 politik negara telah berubah dan untuk menang BN perlu berusaha dengan gigih serta gerak kerja yang strategik.
Selain itu katanya, BN juga mesti tampil dengan tawaran dan penampilan baharu kerana pengalaman memerintah sudah tidak menjadi kelebihan yang mutlak serta tidak akan meyakinkan semua pengundi secara automatik. – UMNO ONLINE