KUALA LUMPUR, 9 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam walau di mana anda berada.
Katanya, sesungguhnya Hari Raya Aidiladha adalah hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan dan ketaatan mutlak Nabi Ibrahim terhadap Allah S.WT.
“Saya dan seisi keluarga dengan penuh tulus ikhlas mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam walau di mana anda berada.”
Ujarnya, kisah pengorbanan dan ketaatan mutlak Nabi Ibrahim terhadap Allah S.WT. menggambarkan betapa setiap ujian hidup yang menimpa adalah bagi menguji sejauh mana ketakwaan hambaNya terhadap Yang Maha Esa.
“Insya-Allah pada setiap ujian ada hikmah disebaliknya sekiranya kita berjaya melaluinya dengan penuh tawaduk dan kepasrahan kepada ketentuan Ilahi.
“Pada hari raya korban ini umat Islam turut disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih dan juga wangi-wangian.
“Bagaimanapun itu tidaklah bermakna untuk kita menunjuk-nunjuk sesama insan, sebaliknya bagi meraikan kegembiraan menyambut ketibaan Hari Raya Aidiladha.”
Begitu juga katanya, kita disunatkan untuk memurahkan rezeki sesama insan dan membanyakkan amalan sedekah lebih daripada kebiasaan berdasarkan kemampuan.
“Ibadah korban tanda kita bersyukur atas rezeki yang Allah S.W.T kurniakan. Bersyukur dengan berkorban dan seterusnya berkongsi kesyukuran dengan mereka yang memerlukan.
“Ambillah juga kesempatan pada Hari Raya Aidiladha tahun ini untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama ahli keluarga, sahabat handai mahupun jiran tetangga.” – UMNO Online