KUALA LUMPUR, 13 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan membidas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lebih mementingkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari keutamaan rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup.
Ini kerana kata Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu, pelantikan jawatan TPM adalah tidak relevan dan tidak wajar difikirkan kerana pilihan raya tidak lama lagi.
“Jawatan yang diminta oleh Muhyiddin Yassin tentang Timbalan Perdana Menteri adalah tidak relevan pada saat ini dan perkara itu tidak wajar difikirkan. Keperluan sekarang adalah mengurus negara apatah lagi dihujung-hujung penggal… tidak perlu berebut jawatan.
“Sewajarnya Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) perlu membantu Perdana Menteri dengan kapasiti MPN itu dan bukannya mendesak ataupun meminta apa-apa jawatan,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.
Tambah Ketua Pemuda UMNO Kuala Langat lagi kemampuan kabinet pada hari ini cukup terbaik dan dapat melaksanakan segala kerja yang diarahkan oleh Perdana Menteri.
“Kabinet yang sedia ada sudah cukup besar untuk melaksanakan kerja, ada bermacam jawatan Menteri Kanan dan apa keperluan untuk diadakan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada saat ini. Tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan dan bukannya satu kewajipan.
“Sekarang ini sudah hujung-hujung penggal Parlimen… dengan meletakkan seorang Timbalan Perdana Menteri bukannya dapat menyelesaikan masalah dan lebih baik kabinet yang sedia ada dapat perbaiki situasi yang kini cukup mencabar,” katanya lagi.
Tegas Shahril, perkara mengenai TPM ini tidak pernah dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tetapi ini bukannya perjanjian dari UMNO.
“Perkara ini tidak pernah dibincangkan oleh parti, jadi kena tunggu sebab perkara tular menular sudah lama berlaku tapi akhirnya kena lihat keputusannya dan keputusan hari ini tidak ada TPM daripada PPBM,” ujarnya.
Terdahulu tular di media sosial mengenai perjanjian persefahaman yang dibuat oleh Perdana Menteri dengan PPBM pada tahun 2021 berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri. – UMNO Online