SEREMBAN, 29 Julai – Barisan Nasional (BN) bertekad akan merampas kembali Negeri Sembilan di dalam pilihan raya umum akan datang, tegas Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.
Jelas Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, perkara yang paling penting sekarang adalah menyusun gerak kerja dan jangan menganggapnya mudah.
“Kita akan rampas Negeri Sembilan itu adalah keutamaan BN. Susunan gerak kerja parti mesti penting dan jangan ambil sambil lewa kerana bagi kami Negeri Sembilan ini boleh diambil balik.
“Kita kalah dulu pun kerana masalah dalaman parti dan yang pentingnya selesai masalah dalaman parti dulu bersama-sama menghadapi pilihan raya. Apa pun sentimen harus mengambil balik Negeri Sembilan itupun kalau kerajaan Negeri Sembilan hendak bersama pilihan raya di buat awal.
“Kerajaan Negeri Sembilan tidak mahu buat pilihan raya bersama… tak pe lah, kita buat Parlimen dulu. Insya-Allah Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Lenggeng, Kuala Klawang, Pilah dan lain-lain DUN di Negeri Sembilan ini.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berharap agar jentera BN terus memperkasakan lagi jentera.
“Kita masih lagi persiap siagakan jentera BN dulu dan meneruskan apa yang ada tanpa mengambil kira kerusi yang dikosongkan oleh parti Gerakan yang keluar dari BN. Walaupun kerusi itu tempat Gerakan dulu tetapi yang penting jentera BN mesti ada.
“Siapa yang hendak bertanding tiada isu lagi yang penting jentera. Bilik gerakan pun mesti bilik gerakan BN iaitu UMNO, MCA, MIC dan Friends of BN dan menggunakan ‘command centre’ dan tidak berpecah-pecah serta komunikasi harus bersama.
“Yang penting dalam pilihan raya adalah jentera parti yang efisien akan mendatangkan kelebihan kepada parti tersebut terutamanya dalam mendekati pengundi, kaji sikap mereka dan bawa mereka keluar mengundi,” ujarnya. – UMNO Online