Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata lawatan itu dilakukan mengikut Peraturan 86, Bahagian 10, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Saifuddin menjelaskan peraturan itu menyebut perhubungan antara banduan dengan saudara-mara dan rakan-rakan mereka hendaklah dibenarkan, tertakluk kepada apa-apa sekatan yang perlu bagi pengekalan tatatertib dan ketenteraman dalam penjara serta pencegahan jenayah.
“Peraturan 86 ini memperuntukkan kuasa memberi kebenaran khas itu kepada Ketua Pengarah Penjara ataupun Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri.
“Ketua Pengarah Penjara maklum pada saya . Itu kaedahnya, tak ada masalah, yang penting dia beritahu saya,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata tindakan Ahmad Zahid membawa makanan kegemaran bekas Presiden UMNO itu semasa lawatan tersebut juga tidak sepatutnya dipertikaikan.
Katanya, Peraturan 99 dalam peraturan yang sama membolehkan pelawat membawa masuk makanan dari luar sekiranya mendapat kebenaran pegawai penjara yang bertugas ketika itu.
“Saya nak sebut juga dakwaan bahawa dia (Ahmad Zahid) membawa masuk peranti elektronik itu tidak betul.
“Soal masa lawatan, pertemuan itu dengan kehadiran Pegawai Penjara yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan pada ketika itu, 30 minit atau 40 min ke ia tergantung kapada budi bicara pegawai yang bertugas,” katanya.
Sabtu lepas, Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan penggulungan presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023, mendedahkan telah bertemu dan bersarapan makanan kegemaran bekas Ahli Parlimen Pekan itu ketika melawatnya di Penjara Kajang.
Lawatan itu mendapat perhatian beberapa peguam yang meminta Jabatan Penjara menjelaskan adakah ia satu bentuk layanan istimewa yang diberikan kepada Najib mahupun Ahmad Zahid atau jika ia dilakukan mengikut tatacara yang ditetapkan. – BERNAMA