Tun Mahathir Mesti Sedar, Majoriti Melayu/Islam Tolak Kerajaan PH

Kongres Maruah Melayu yang berlangsung semalam mengesahkan segala dakwaan UMNO dan PAS selama ini, bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kepentingan masyarakat Melayu dan Pribumi lain sedang terhakis di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Rumusan ahli akademik dan ahli politik biasa-biasa ini, turut diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan penutupnya. Walaupun Tun Mahathir cuba meletakkan kesalahan tersebut kepada orang Melayu dan UMNO, namun ia tidak dapat menafikan kelemahan kerajaan PH.

Menurut Tun Mahathir sikap orang Melayu sendiri yang menggadai kuasa yang diberikan, sehingga akhirnya maruah mereka dipijak dan dipandang hina bangsa lain. Jelasnya, orang melayu yang menjadi bangsa majoriti di negara ini sepatutnya bersatu, tetapi bangsa itu sudah berpecah kepada kumpulan kecil, sehingga tidak mampu menguasai walalupun separuh daripada sokongan rakyat.

Saya bersetuju gesaan Tun Mahathir agar orang Melayu dan Islam bersatu. Cumanya kita tertanya-tanya, Penyatuan Yang Bagaimana?

Secara rasionalnya, kumpulan kecil umat melayu/islam harus menyertai kelompok yang lebih besar.

Hari ini kumpulan terbesar orang Melayu/Islam berada dalam gagasan Penyatuan Ummah.

Saya yakin UMNO dan Pas tiada masalah untuk menerima penyertaan Tun Mahathir dan PPBM ke dalam agenda besar umat melayu/islam ini.

Persoalannya, apakah Tun Mahathir sanggup berkorban jawatan dan kepentingan, bagi mengangkat semula kuasa umat Melayu/Islam di negara ini? Insha Allah jika Tun Mahathir jujur dan mahu melihat Melayu/Islam menjadi kuasa politik yang kuat, beliau tiada masalah berkompromi dengan UMNO dan PAS.

Masalahnya hari ini, Tun Mahathir hanya melihat dari sudut pandangan beliau sahaja. Ada pandangan beliau yang betul dan ada juga yang salah. Yang benar kita kena akui benar, namun banyak keputusan kerajaan PH hari ini telah menyebabkan orang Islam dan Melayu marah dan kecewa serta merasa terhina di tanahair sendiri…

Jika benar beliau jujur dan ikhlas, mahu kedudukan Melayu dan Islam dipulihkan dan diperkasakan, esok juga beliau boleh menubuhkan sebuah kerajaan baharu dengan kerjasama BN, Pas dan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.

Namun UMNO dan PAS harus diberi peranan yang signifikan dalam memulihkan negara ini. Kita tidak mahu menjadi sekadar penumpang sahaja, sehingga menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu serta pribumi lain.

Buat masa ini pisau dan mentimun di tangan Tun Mahathir. Tetapi bila tiba pilihan raya akan datang, pisau ini sudah di tangan rakyat.

Terserahlah kepada Tun Mahathir untuk membuat keputusan, kerana buat masa ini majoriti orang Melayu/Islam sudah membuat keputusan menolak PH.

Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO

7 Okt 2019


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *