Zakir Naik, Kemajmukan Malaysia dan Hak Asasi.

Kekuatan sebenar Malaysia ialah kemajmukannya. Kehidupan harmoni pelbagai kaum dan agama, telah menjadi karakter utama negara ini. Lalu sesiapa jua yang cuba mengugat keharmonian ini, wajar bertangungjawab atas tindakan mereka.

Jika benar apa yang diucapkan oleh Zakir Naik di Kota Baharu itu, bersifat menghasut dan boleh mengancam kehidupan rukun damai masyarakat Malaysia, maka beliau harus bertanggungjawab dan menghadapi proses undang-undang.

Kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan. Tetapi ia bukan mutlak. Tiada siapa jua, walau seorang ulama besar mahupun negarawan, mempunyai kebebasan untuk memperlekehkan status, kedudukan dan kewarganegaraan kaum tertentu di Malaysia.

Kepada Zakir Naik, anda telah dilayan dengan terhormat di negara ini. Dan anda seorang pendakwah yang terkemuka. Maka adalah tanggungjawab anda untuk berlaku bijaksana dan menujukkan teladan bahawa Islam itu adalah kebaikan untuk semua.

Jika anda tidak berupaya melakukan itu, maka anda tidak boleh menyalahkan Kerajaan Malaysia jika ia bertindak keatas saudara.

Namun tindakan mengusir Zakir Naik haruslah dipertimbang sebaik-baiknya. Tun Mahathir berhadapan dengan keadaan yang sukar.

Tidak mengusir beliau akan dilihat sebagai penerimaan kata-kata beliau yang menyinggung perasaan, malah tidak menghormati kaum-kaum tertentu di Malaysia. Namun begitu, jika dihantar pulang, nyawa dan hak asasi beliau akan terancam, maka kita mesti bertindak rasional.

Walaumacamana tidak bersetuju pun kita dengan pendapat Zakir Naik dalam isu tertentu, keadilan hanya akan dapat dicapai jika kita mendapat jaminan bahawa hak asasi beliau dihormati, jika beliau diusir. Jika diyakini bahawa hak asasi itu akan dikompromi, maka Malaysia bertanggungjawab untuk bertindak dengan bijaksana berdasarkan amalan terbaik perundangan antarabangsa.

Perdana Menteri harus mengimbangi kepentingan nasional, hak asasi Zakir Naik dan pertimbangan politik pelbagai kaum di Malaysia. Yang pasti, kita mengharapkan keputusan berhikmah dari beliau.

Dato Seri Haji Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *