Optimumkan TV Pendidikan, Antara Cadangan Ahmad Zahid Pastikan Tiada Pelajar Keciciran

Kita terpaksa akui isu pembukaan semula sekolah semakin rumit selepas kerajaan pada 16 Januari lalu membuat keputusan ia ditangguhkan ekoran kes Covid-19 yang masih tinggi dan menunjukkan trend peningkatan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat ketetapan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka di sekolah hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksan.

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) bagi tahun 2020 serta setara.

Keselamatan murid jadi keutamaan. Itu tanpa kompromi. Tetapi kita masih perlu juga memikirkan tentang keperluan murid Tahun 1 hingga 6 dan pelajar sekolah menengah Tingkatan 1 hingga 5 bagi tahun 2021 mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Kita kena belajar dari pengalaman. Sejak pelaksanaan PKP 1.0, para guru dan pihak sekolah telah mengambil inisiatif untuk mengajar secara atas talian bagi memastikan pelajar tidak tercicir.

Namun banyak jua rungutan didengari tentang kaedah itu berdepan dengan banyak kekangan sama ada di pihak guru, pelajar mahupun ibu bapa.

Antaranya ibu bapa tidak berkemampuan menyediakan gajet seperti laptop dan handphone kepada anak-anak, kekangan wang menyediakan data, masalah jaringan internet, kesukaran guru mengajar silibus tinggi secara maya dan lain-lain.

Bagi sesetengah ibu bapa pula, mengendalikan pembelajaran anak secara atas talian adalah sukar kerana ramai pasangan suami isteri yang bekerja.

Sehubungan itu, sebelum mengumumkan penangguhan sekolah semasa PKP 2.0 pada 16 Januari lalu, sewajarnya KPM menyelesaikan setiap rungutan yang dibangkitkan murid, guru dan ibu bapa semasa PKP 1.0 terlebih dahulu.

Di sini saya ingin juga berkongsi sedikit pandangan sebagai kaedah tambahan membantu murid mendapatkan sesi pembelajaran di rumah.

Kerajaan pada 6 April tahun lalu melancarkan TV Pendidikan menerusi TV Okey, Astro Tutor dan Didik TV@NTV7. Satu pendekatan yang baik. Namun pelaksanaannya hanya pada had masa tertentu.
https://www.moe.gov.my/pemb…/banner/rancangan-tvpendidikan

Dalam keadaan PKP 2.0, saya terfikir bukankah elok jika salah satu saluran televisyen milik kerajaan digunakan sepenuhnya untuk tujuan yang sama tapi pada had masa paling optimum.

Dalam pada itu stesen televisyen tidak berbayar juga boleh memainkan peranan untuk membantu. Kita harus akui pendidikan adalah lebih utama buat rakyat berbanding hiburan.

Tidak terkecuali, stesen televisyen berbayar boleh juga menyediakan saluran pendidikan tanpa henti sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada murid dan ibu bapa pada waktu sukar ketika ini.

Slot siaran boleh dibahagikan mengikut matapelajaran dan subjek teras untuk murid tahun 1 hingga 6 serta pelajar tingkatan 1 hingga 5.

Pelajar dikehendaki mengikut jadual masa pembelajaran yang ditentukan KPM melalui saluran pendidikan di televisyen itu.

Bagi mengelak murid dan ibu bapa terlalu bergantung kepada gajet dan Whatsapp, saya cadangkan KPM menyediakan bahan pembelajaran untuk diambil oleh ibu bapa di sekolah seminggu sekali.

Jangan terlalu menekan guru dengan soal pelaporan, dokumentasi serta menetapkan KPI dengan impak PDPR yang akhirnya menyusahkan pihak guru dan seterusnya menjadi bebanan pelajar dan ibu bapa.

Apa-apa pun saya menyanjung tinggi peranan guru dalam mendidik anak bangsa. Merekalah pembentuk generasi dan pemimpin gemilang.

Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO