Rapatkan Saf UMNO, Realitikan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Ahli-ahli UMNO diseru untuk sentiasa merapatkan saf di bawah slogan parti iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.’

Menurut Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang memandang berat dan menzahirkan rasa bimbang dengan situasi pandangan terbuka melalui media sosial dan cetak yang melibatkan segelintir pemimpin parti.

“Veteran tidak menafikan sebagai sebuah parti besar yang mempunyai lebih 3 juta ahli dengan 191 bahagian dan ribuan cawangan serta ribuan pula pemimpin cawangan dan bahagian, ianya bukan mudah untuk disatukan cara berfikir mereka. Veteran juga faham perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam UMNO.

“Bagaimanapun, perbezaan pendapat itu mestilah mengikut cara dan lunas yang betul dan selaras dengan peruntukan yang ada dalam Perlembagaan dan Tata Etika UMNO.

“Sebarang perbezaan pandangan hendaklah dibincang dan dikemukan melalui saluran yang betul dan berhemah. Ianya tidak sepatutnya dikemukan dalam media sosial secara terbuka,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, ahli-ahli UMNO di akar umbi mengharapkan kesatuan yang utuh kerana sedar bahawa parti ini perlu terus menjadi pembela rakyat.

“Ahli-ahli UMNO disemua peringkat perlu terus ingat bagaimana keadaan ketika UMNO dan Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lalu. Sekarang kita di semua peringkat mesti terus berusaha memperkukuhkan parti sebagai persediaan menghadapi PRU ke-15,” katanya lagi. – UMNO Online