Kerajaan Perlu Arah Lanjutan Moratorium, Jangan Hanya Serah Pada Budi Bicara Bank

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap agar sepanjang tempoh Darurat dan PKP 2.0, kerajaan akan dapat mengeluarkan arahan jelas supaya pelanjutan tempoh moratorium pinjaman dapat diberikan secara automatik kepada peminjam dengan kriteria tertentu seperti sebelum ini, bukan atas penilaian dan budi bicara sepihak oleh pihak bank.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberikan tujuh rasional ekonomi kenapa hal tersebut perlu dilakukan.

“Pemuda UMNO mengharapkan agar kerajaan dapat memanfaatkan kuasa di bawah Ordinan Darurat untuk membuat pengarahan jelas kepada pihak institusi kewangan bagi tujuan lanjutan moratorium secara outomatik dengan kriteria terentu dan bukannya diserahkan kepada budi-bicara bank semata-mata,” tegasnya dalam kenyataan berkaitan hal ini, hari ini.

Tujuh Rasional Ekonomi utama kenapa ini perlu dilakukan adalah seperti berikut:

1. Berbanding PKP 1.0, rakyat hakikatnya lebih susah kerana ramai hilang pekerjaan, dipotong gaji ataupun dikurangkan elaun, manakala rata-rata perniagaan terjejas teruk malah gulung tikar akibat kelembapan ekonomi lantaran Pandemik COVID-19.

2. Oleh kerana keadaan ekonomi negara dijangkakan akan turut terjejas kerana perlaksanaan PKP 2.0 dan proklamasi Darurat, sektor perniagaan serta industri kecil dan sederhana antara yang paling terkesan dan belumpun sempat pulih setelah PKP pertama, pastinya akan memberi kesan gandaan negatif kepada ekonomi.

3. Walaupun moratorium diberikan sekurang-kurangnya 6 bulan pada PKP 1.0, ternyata sektor perbankan terus mencatatkan keuntungan besar pada tahun lepas. Tidak dinafikan ada sedikit penurunan keuntungan sektor perbankan, tetapi jauh sekali mengalami kerugian.

4. Rasional ekonomi terpenting ketika krisis adalah untuk memastikan rakyat boleh terus berbelanja agar kitaran wang terus rancak bagi memastikan permintaan dalam ekonomi berkembang, sekaligus mengelakkan pengucupan ekonomi. Justeru, penangguhan bayaran pinjaman untuk tempoh masa tertentu boleh mengurangkan ketirisan keluar aliran kewangan daripada kitaran ekonomi hingga merencatkan pertumbuhan ekonomi negara dan menyukarkan proses pemulihan ekonomi itu sendiri.

5. Statistik berkenaan pendapatan sektor perbankan di Malaysia, kos serta keuntungan sebelum cukai bagi sektor ini sehingga enam bulan pertama tahun 2020 dapat dilihat di rajah 2.13 dalam laporan Bank Negara yang boleh diakses di link ini https://www.bnm.gov.my/fsr-2020 .

6. Perlanjutan tempoh Moratorium secara automatik tidak akan membawa masalah kepada pihak bank. Ini kerana dalam laporan Bank Negara terbaru berkenaan Kestabilan Kewangan di bawah tajuk Financial Institution Soundness and Resilience yang boleh diakses di laman ini https://www.bnm.gov.my/fsr-2020 , jelas menyatakan bahawa sektor perbankan di Malaysia berada dalam kedudukan modal yang ampuh dengan ‘Aggregate Capital Buffers’ berjumlah Rm121.6 billion. Ini bermakna, sektor perbankan pada kedudukan yang kukuh untuk menyerap sebarang tekanan dan kerugian jangka pendek.

7. Dengan kekukuhan sektor kewangan yang punya ketahanan modal yang kuat (well capitalised), kewajaran perintah Moritorium secara automatik lebih utama bagi mengurangkan tekanan ekonomi dalam sektor ekonomi benar atau real econony (bukan kewangan) terutama yang melibatkan perbelanjaan kepenggunaan. – UMNO Online