COVID-19 Di Sekolah: Pencerahan Diperlukan Tapi ‘Perutusan Khas’ Masih Tiada

BEBERAPA hari sekolah kembali dibuka sudah ada kes jangkitan COVID-19 dilaporkan membabitkan guru dan murid.

Perkembangan yang agak merungsingkan ramai pihak terutama dalam kalangan ibu bapa.

Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cempaka, Tampoi di Johor dilapor ditutup sehingga 25 Mac ini.

Ia selepas tiga murid, seorang guru dan seorang kakitangan sekolah itu dikatakan sah positif COVID-19.

SK Bukit Jenun di Kedah pula ditutup bermula Jumaat lalu sehingga satu tarikh yang belum ditetapkan.

Ia selepas seorang guru di sekolah itu disahkan positif COVID-19.

Tetapi belum ada sidang khas oleh pihak berwajib bagi memperjelaskan tentang perkembangan yang agak membimbangkan itu kepada umum.

Dalam keadaan inilah ‘perutusan khas’ amat diperlukan oleh ibu bapa, murid dan guru bagi mendapatkan pencerahan.

Ibu bapa perlu tahu tentang tahap keselamatan anak-anak mereka di sekolah susulan daripada dua insiden tersebut.

Mereka perlu tahu adakah SOP sedia ada di sekolah masih mencukupi untuk mencegah jangkitan COVID-19 atau memerlukan penambahbaikan?

Mereka mahu tahu sama ada jangkitan COVID-19 yang berlaku di dua sekolah itu dari dalam atau luar sekolah?

Mereka khuatir perkara sama boleh berlaku di sekolah anak mereka. Paling menggusarkan tentang keselamatan Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Mereka sedia maklum kanak-kanak dikategorikan sebagai berisiko. Sebab itu pasar malam pun tidak dibenarkan masuk.

Saya pula bimbang andai insiden di dua sekolah itu dianggap terpencil dan tidak signifikan untuk diambil berat oleh pihak yang berkenaan.

Walaupun cuma terjadi di dua sekolah setakat ini, hal keselamatan dan kesihatan tiada kompromi. Jangan sesekali ‘take for granted’.

Tiada istilah isu terpencil dalam soal keselamatan. Setiap nyawa adalah berharga. Konsep ‘the greater good’ tidak terpakai dalam perkara ini.

Menjaga nyawa maqasid syariah. Maka pihak berwajib wajib menjamin sepenuhnya keselamatan murid-murid kita walau dalam apa cara.

DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
Presiden