Perincikan Solusi Nasional Yang Relevan, Matang Dan Kritis

RENUNGAN Untuk Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

UMNO akan mengadakan perhimpunan agungnya pada hujung minggu ini. Pelbagai ulasan, telahan dan komentar tentang apa yang akan berlaku dalam persidangan itu telah diterbitkan dalam pelbagai saluran media.

Demikianlah pentingnya UMNO kepada politik dan masa depan Malaysia. Apa yang akan dibicara, ditegur, dibincang dan diusulkan dalam Perhimpunan UMNO sangat mempengaruhi perjalanan negara dan bangsa Malaysia.

Oleh itu sangatlah penting kepada semua perwakilan menyedari ini. Bahawa usul, pembicaraan serta kupasan idea mereka, akan menjadi intipati penting dalam menyelesaikan segala kekusutan dalam masyarakat dan negara.

Maka bahaslah dengan rasional dan matang. Kemukakan kecerdasan baru dan suarakan segala permasalahan rakyat dengan sebaiknya.

Setelah menjadi sebahagian dari kerajaan, UMNO mesti menggunakan peluang ini untuk membahaskan pelbagai isu yang mendepani rakyat. Mengetengahkan dasar yang pincang dan memperincikan dasar lebih baik mesti diutamakan.

Ini kerana UMNO wajar memainkan peranannya sebagai ‘the Malay braintrust’. Ia mesti tampil dan mengemukakan solusi nasional terhadap pelbagai kemaslahatan Malaysia.

UMNO wajar membicarakan pelbagai isu berkepentingan nasional kerana ia adalah peranan hakiki UMNO dalam politik bangsa. Iaitu mengemukakan idea termaju untuk memperbaiki kedudukan bangsa dan negara.

Kedua, perhimpunan agung ini mesti menjadi medan perwakilan membahaskan jalan ke hadapan untuk UMNO kembali memerintah, bukan ruang untuk menggugat perpaduan parti atau mencerca sesiapa jua.

Teguran, kritikan dan apa jua saranan kita, haruslah dalam semangat membangunkan keunggulan UMNO dan bukan melebarkan lagi kepuak-puakan dan melemahkan kesatuan.

UMNO mesti berada dalam kedudukan ‘utuh’ untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 dan memerintah semula. Kerencaman berparti tidak boleh mengatasi ‘UMNO’s higher purpose’ iaitu menjadi pengemudi kepada kemajuan Malaysia.

Terakhir, apa jua yang diputuskan oleh perwakilan nanti, mestilah dihormati. Tiada individu, suara dan pengaruh lebih besar dan gah dari muafakat dan konsensus akar umbi UMNO. Disiplin dan tata kelola parti mesti diamalkan dan tersemat di hati.

Usia UMNO tahun ini ialah 75 tahun. Ia lebih tua dari Malaysia sebagai sebuah negara. UMNO mesti dewasa sesuai usianya. Pembawaannya mesti dewasa, pendiriannya mesti berhikmah dan kewibawaannya mesti sematang usianya insya-Allah.

Selamat bersidang UMNO dan perwakilannya.

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Naib Presiden