Bilakah Rasa Keperimanusiaan Akan Wujud Di Sanubari Rejim Israel? – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan tindakan keganasan berterusan terhadap rakyat Palestin oleh tentera Israel mesti dikutuk dan tidak boleh ditoleransi.

Beliau berkata demikian rentetan lebih daripada 170 rakyat Palestin dan aktivis cedera ketika polis Israel menembak peluru getah dan bom tangan di Masjid Al-Aqsa.

Tindakan keganasan itu dilakukan hanya kerana mereka mendirikan solat Jumaat terakhir di bulan Ramadan dan bersolidariti menentang pembinaan 540 rumah haram di Sheikh Jarrah.

“Bilakah rasa keperimanusiaan akan wujud di sanubari rejim Israel?

“Pendudukan dan pembinaan rumah haram di tanah milik rakyat Palestin menjadikan proses damai mustahil untuk berjaya.

“Rundingan damai pada masa depan akan tercemar oleh tindakan sebegini dan menghapuskan wibawa moral rejim Israel,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Malah Mohamad turut menggesa kerajaan Malaysia, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pihak-pihak yang berpengaruh untuk mengeluarkan kenyataan penentangan secara kolektif terhadap keganasan rejim Israel.

“Kita sudah jemu dengan keganasan, namun bagi kerajaan Isreal seolah-olah ia adalah urusan harian mereka. Membiarkan perkara ini terus berlaku adalah sangat tidak wajar.

“Kita mesti memainkan peranan aktif untuk menghentikan keganasan seperti ini,” tegasnya. – UMNO Online