Insentif Pemerkasa Tambahan Perlu Dilaksanakan Segera Dengan Telus, Amanah Dan Cekap

Pemerkasa Tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri malam tadi adalah langkah penting yang sangat diperlukan.

Meningkatkan kapasiti kesihatan awam adalah intervensi kritikal pada masanya. Malaysia sangat memerlukan lebih banyak ICU, sumber tenaga dan program vaksinasi.

Menyedari kekangan fiskal Kerajaan, amatlah penting setiap sen peruntukan untuk peningkatan kapasiti sektor kesihatan awam ini dimanfaatkan dengan telus dan mendatangkan impak sebaiknya.

Kita tidak mahu pelaksanaannya nanti terjadi ketirisan, ketidakcekapan sistem serta pembaziran.

Peruntukan yang banyak mesti mendatangkan impak berganda. Kita mesti mengambil pengajaran dari pembangunan sistem pendaftaran vaksinasi, yang walaupun besar tetapi tidak berfungsi dengan baik dan menimbulkan kesusahan kepada rakyat.

Penerusan Bantuan Prihatin Rakyat juga sangat bertepatan dengan keadaan semasa.

Kerajaan sedaya upaya berusaha meluaskan bantuan ini kepada seramai mungkin rakyat.

Mungkin strategi ini boleh diperbaiki dengan memastikan golongan paling terjejas menerima lebih banyak bantuan.

Ekuiti dalam pengagihan bukan bermakna semua mendapat bantuan yang saksama. Mereka yang memerlukan lebih wajar menerima lebih banyak dan yang kurang terjejas, menerima sekadarnya.

Yang ketiga ialah keputusan Jemaah Menteri untuk tidak mengambil gaji bagi tempoh 3 bulan adalah disambut baik.

Namun ia janganlah sekadar gaji. Ia mesti termasuk pelbagai elaun dan imbuhan keraian yang selalunya lebih banyak dan tinggi, mengatasi gaji para Menteri.

Kepimpinan melalui teladan dalam saat krisis segenting ini adalah kemestian yang sepatutnya telah lama dipamerkan.

Kepada Perdana Menteri, semoga segala insentif Pemerkasa Tambahan yang diumumkan akan segera dilaksanakan tanpa berlengah, dengan telus, amanah dan cekap.

Dato’ Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO