Bantu Rakyat Tersepit Bebanan Kewangan, Pertimbang Pengeluaran KWSP – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kerajaan dapat melakukan langkah sewajarnya bagi membantu rakyat yang berhadapan dengan bebanan kewangan.

Menurut beliau, ini termasuk dengan membenarkan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta lanjutan moratorium pinjaman bank.

“Kepada pihak yang mentadbir kewangan negara pertimbangkan sehabis baik permintaan rakyat memerlukan supaya dibenarkan pengeluaran wang KWSP. Begitu juga dengan permintaan supaya diberi moratorium bayaran oleh pihak bank untuk tempoh enam bulan lagi.

“Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) dikatakan untuk bank membantu rakyat yang masih mengalami masalah kewangan akibat impak pandemik. Namun banyak keluhan didengari tentang URUS didakwa lebih menguntungkan bank berbanding rakyat kerana peminjam perlu menangggung bebanan hutang yang lebih tinggi.

“Kelihatan seperti salah satu produk kewangan yang akan menjana keuntungan bagi pihak bank, manakala kosnya perlu ditanggung rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai respon berkenaan pasangan suami isteri ditemui tinggal di bawah landasan transit aliran ringan (LRT) yang tular di media sosial.

Katanya, kisah itu sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa masih ramai rakyat sedang berdepan dengan permasalahan ekonomi.

“Syukur alhamdulillah. Semoga segala pertolongan diberi membolehkan pasangan suami isteri terbabit menjalani kehidupan yang baik. Sejujurnya kita perlu berterima kasih individu yang menemui pasangan suami isteri terbabit dan mendedahkan nasib mereka di media sosial.

“Ramai berpandangan inilah yang dikatakan sebagai kuasa media sosial, tetapi bagi saya lebih penting inilah yang dikatakan sebagai kemuafakatan rakyat. Jika tiada seorang pun anggota masyarakat yang prihatin tentang keadaan mereka, kuasa media sosial juga tidak berfungsi. Maka teruskanlah kemuafakatan itu.

“Kita boleh bercerita bulan dan bintang bagi menghuraikan yang indah-indah belaka, namun adakah ia lengkap dan menyentuh realiti semasa? Mungkin orang di sekeliling kita atau di hadapan mata kita terlihat penuh selesa, namun bagaimana yang lain di luar jangkaun dan makluman kita?” ujar beliau. – UMNO Online