Umno Sabah tarik sokongan kepada Hajiji

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah malam ini (6 Januari) mengumumkan menarik sokongan kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi BN negeri berkata pendirian yang diputuskan dalam mesyuarat parti di sini malam ini, dibuat kerana hilang kepercayaan kepada kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.

Bung Moktar berkata BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020, bagaimanapun Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.

“Hajiji juga telah mengugut kita dengan rombakan kabinet tanpa berbincang. Kami juga hilang kepercayaan selepas Hajiji kehilangan locus standi, kelayakan untuk dipilih sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Mengikut Perlembagaan Negeri Sabah, ketua menteri harus dipilih daripada sebuah parti yang (ada sokongan) majoriti. Dia (Hajiji) tidak berparti, dia bernaung di bawah GRS ini adalah ‘grand coalition’ parti,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Sabah di Karamunsing di sini.