Zahid sebut 10 Ahli Parlimen yang sokong Muhyiddin

PRESIDEN parti Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyelar dan menamakan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk menyokong Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri ke-10 sejurus selesainya pilihanraya umum ke-15 baru-baru ini.

Dalam taklimat khas presiden kepada kira-kira 3,000 perwakilan dan hadirin di Dewan Merdeka, World Trade Center, Zahid menyebut nama bahagian terbabit secara jelas sebagai kumpulan yang berunding dengan Perikatan Nasional di St Regis Hotel.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sembrong, Ayer Hitam, Tapah, Pensiangan, Tanjong Piai, Simpang Renggam, Lipis, Jelebu, Kuala Pilah dan Tampin.

“Saya sudah maafkan mereka. Janganlah diulang lagi,” katanya dalam ucapan.

Beliau juga menceritakan kisah bagaimana BN bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan yang diterajui Anwar Ibrahim.

Penjelasan beliau itu sama sekali menjernihkan semula kekeliruan mengenai kebersamaan BN di dalam kerajaan.