Elak isu 3R, kata Timbalan Perdana Menteri

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat supaya mengawal diri daripada menulis atau berkongsi isu sensitif terutama berkaitan raja, agama dan kaum (3R) berikutan terlalu banyak berita sedemikian dipolemikkan dalam pelbagai platform.

Beliau turut mengingatkan supaya tiada pihak menulis secara semberono, sebaliknya melihat secara mendalam kesannya terutama kepada masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa.

“Terlalu banyak perkara 3R yang dijadikan polemik dan perdebatan. Maka kita harus tahu sensitiviti membabitkan tiga perkara ini. Pada hemat saya harus ada keseimbangan. Tak perlulah (tindakan) perundangan digunakan untuk mengawal tetapi kita sendiri perlu mengawal diri terutama bagi penulis.

“Penulis (berkarya) dengan tidak menyentuh isu tidak sensitif, bukan secara semberono menulis apa saja yang bermain di pemikiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kompleks Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Majlis Aidilfitri Penulis Bersama Timbalan Perdana Menteri di Rumah GAPENA, di ibu negara, semalam.

Beliau yang turut diminta mengulas prestasi Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang menurun di tangga ke-107 berbanding ke-73 tahun lalu, mengakui elemen 3R memberi kesan langsung kepada ranking negara.

“Dalam hal ini, pihak kementerian (berkaitan) termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi boleh melakukan sesuatu yang lebih baik supaya soal kebebasan media dapat dipertingkatkan semula.

“Saya juga lihat kita tak boleh gunakan acuan sesebuah negara untuk dijadikan piawaian (mengukur tahap kebebasan media). Ia harus disesuaikan dengan keadaan sensitiviti masyarakat di Malaysia, bukan hanya berbilang kaum, budaya dan agama tetapi kita juga ada raja dan soal bangsa yang pada hemat saya perlu disantuni semua masyarakat daripada bangsa apa pun,” katanya.

Jumaat lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan oleh RSF berbanding tangga ke-73 tahun lalu.

Bagi negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua dipintas oleh Thailand yang berada pada tangga ke-87 diikuti Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).

Menurut analisis RSF, kerajaan mengenakan tekanan politik yang besar untuk menghalang media daripada menangani subjek sensitif atau mengkritik ahli politik dan pegawai kerajaan.