Sertai Anwar bukan keputusan sendiri – Zahid

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan bahawa pemillihan calon PRU15 serta keputusan menyertai Kabinet Anwar Ibrahim sebagai keputusannya sendiri.

Sebaliknya, beliau berkata ia dibuat selepas berbincang dengan To 5 membabitkan beliau sendiri, timbalannya Mohamad Hasan serta tiga naib presiden iaitu Ismail Sabri Yaakob, Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid.

“Adakah langkah memilih ramai muka baru bermaksud akan mengurangkan peluang kemenangan kita di PRU? Atau adakah usaha mengurangkan ‘warlord’ dalam parti bertujuan menipiskan kemenangan parti?

“Saya sendiri dicabar oleh seorang pemimpin kanan PKR di Bagan Datuk. Adakah saya mahu peluang kemenangan saya pudar? Dan adakah ia mencerminkan wujudkan persefahaman di antara Umno dan PH sebelum pilihanraya?”

Umno, katanya, memilih PH selepas dititahkan Yang di-Pertuan Agong agar membentuk sebuah kerajaan perpaduan dengan pihak yang menang kerusi terbanyak.

“Kita menjunjung titah baginda. Parti juga menyerahkan kepada saya untuk berunding dengan mereka berlandaskan persetujuan pucuk kepimpinan,” katanya.

Mengenai ‘No Anwar, No DAP’, Zahid berkata mereka yang memainkan sentimen itu lupa kepada ‘No Bersatu’ yang pernah beliau ucapkan pada PAU 2020.