Ada sebab lantik mereka yang kalah ke MKT

AHMAD Zahid Hamidi berkata keputusan melantik mereka yang tewas pada pemilihan parti untuk memegang jawatan tertentu, adalah usaha mengukuhkan Umno.

“Yang menang, tak menang semua, yang kalah, tak kalah semua, maka keterangkuman ini saya lakukan demi kukuhkan parti yang di mata orang luar sedang berada dalam keadaan cacamarba,” katanya di Gombak, semalam.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) 2023-2026 yang pertama pada Rabu lepas memutuskan Shahrizat Abdul Jalil dilantik sebagai ahli MT dan memegang jawatan pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga.

Turut diumumkan pelantikan Mahdzir Khalid selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah dan Reezal Merican Naina Merican sebagai Ketua Jabatan Pilihan Raya

Shahrizat tewas dalam persaingan merebut jawatan Ketua Wanita manakala Mahdzir dan Reezal Merican kalah dalam pertandingan jawatan Naib Presiden.