Melaka mungkin bentuk kerajaan perpaduan

MELAKA mungkin menyaksikan pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Pulai, Serkam, di sini hari ini, beliau yang juga Presiden Umno berkata ia adalah selaras dengan pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Insya-Allah di negeri Melaka belum terbentuk kerajaan (perpaduan yang) Madani… tapi ke arah itu di Melaka,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata perubahan landskap politik negara itu juga akan dapat disaksikan di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pada PRN Negeri Melaka pada Nov 2021, BN berjaya memperoleh majoriti lebih dua pertiga dengan menguasai 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ketika ini, Melaka ditadbir sepenuhnya oleh kerajaan BN.