Kalimah ‘Allah’ dibawa ke mesyuarat Kabinet esok

UMNO kekal dalam mendukung prinsip parti terutama membabitkan Islam sebagai agama Persekutuan, ini termasuk isu penggunaan kalimah Allah, kata Ketua Penerangan Umno, Azalina Othman Said.

Menyedari perkara ini, beliau berkata isu ini akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada esok.

“Umno akan kekal terus berjuang menegak dan mempertahan Islam sebagai Agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Menteri-menteri Umno akan membangkitkan perkara ini untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada esok hari,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata ini kerana isu penggunaan kalimah Allah hendaklah dikendalikan dengan penuh cermat.

Jelas beliau kerana ia melibatkan sensitiviti agama, kebebasan beragama dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Terdahulu semalam media melaporkan, Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.