PAS dan Bersatu tidak mampu gantikan Umno

PENGARAH Komunikasi Umno, Lokman Noor Adam membidas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengatakan bahawa Perikatan Nasional (PN) melalui Pas/Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menggantikan perjuangan Umno.

Katanya, peranan dan perjuangan Umno tidak boleh digantikan dengan mana-mana parti kerana khidmat kepada rakyat dan negara sejak awal penubuhannya tidak boleh dinafi.

“Shahidan mengatakan bahawa hari ini orang Melayu kena beralih kepada PN untuk menggantikan perjuangan Melayu/Umno, saya hendak beritahu beliau selama hari ini Umno tidak pernah mengkhianati perjuangan.

“Kerana Umno yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, keistimewaan orang Melayu dalam Perlembagaan, Bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan, meletakkan kedudukan Raja-raja Melayu, ini semua dilakukan oleh Umno.

“Kalau Umno hendak khianat perjuangan Melayu lama dah kita buat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hantaran video yang dikongsi di Facebook.

Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno menambah, tindakan PN itu adalah kerana bimbang dengan keupayaan Umno untuk merasionalkan DAP.