Zahid – ketua penerangan perlu perjelas isu semasa

PRESIDEN parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar Ketua Umno Bahagian memberikan peranan sepenuhnya kepada Ketua Penerangan parti untuk menjelaskan segala isu yang dirangka pihak lawan terhadap akar umbi.

Jelasnya, Umno/Barisan Nasional (BN) berupaya untuk mendapat lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 sekiranya jentera penerangan digerakkan dengan sebaiknya

“Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebutkan sebentar tadi, sekiranya pada PRU ke-16 kita tidak berpecah, bekerja keras dan mengubah cara menggerakkan jentera penerangan, Insya-Allah kita akan memperoleh lebih banyak kerusi.

“Itu sebabnya ‘townhall’ yang kali pertama dianjurkan oleh Ketua Penerangan, Datuk Seri Azalina Othman Said, wajib dibuat setiap tahun sebelum Perhimpunan Agung UMNO (PAU),” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena ‘Townhall Penerangan Umno, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi BN itu turut berharap agar Ketua Penerangan setiap peringkat akan turun ke akar umbi bagi memberikan penjelasan mengenai isu-isu yang sengaja ditimbulkan terutamanya oleh pihak lawan.

“Ada hikmahnya apabila kita meminda perlembagaan agar Ketua-Ketua Penerangan dimasukkan sebagai perwakilan kerana perlembagaan Umno mengiktiraf mereka.

“Akhirnya, saya harap semua Ketua Penerangan Bahagian dan sayap-sayap turun ke bawah berjumpa dengan semua Ketua Penerangan peringkat cawangan untuk menjelaskan segala kegusaran. Saya yakin selepas hari ini saudara-saudari akan jawab segala tohmahan bagi pihak parti.

Let’s us start fresh. Mulai pada hari ini kita bergantung kepada semua Ketua Penerangan untuk memberikan penjelasan dan pencerahan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan,” katanya lagi.