Zahid mangsa pendakwaan terpilih politik

UMNO percaya dakwaan terhadap presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sengaja direka, kata Setiausaha Agung, Datuk Wira Dr Asyraf Dusuki.
Katanya, parti itu berharap titik hitam di dalam sejarah perundangan negara sehingga sistem dan institusi keadilan didakwa diperalatkan mesti dinoktahkan.
“Umno berpendirian tegas agar situasi itu tidak perlu lagi berulang.
“Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti terus bebas dan berani melaksanakan amanah mereka tanpa rasa takut dan pilih kasih terhadap mana-mana pihak termasuklah terhadap pimpinan dan ahli Umno sendiri,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, seluruh keluarga besar Umno menzahirkan rasa syukur dengan keputusan Peguam Negara memberhentikan pendakwaan kesemua baki 47 kes pertuduhan yang dihadapi Zahid.
“Sejak dari awal kita yakin dan percaya bahawa Zahid adalah mangsa pendakwaan politik yang dilakukan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14,” ujarnya.

Dalam pada itu, Umno Perak menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa dibebaskan Ahmad Zahid membabitkan dana Yayasan Akalbudi membuktikan selama ini wujud pendakwaan bermotifkan politik.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mengambil kira 11 alasan menghentikan pendakwaan ke atas semua pertuduhan tersebut, kredibiliti institusi perundangan termasuk Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu kembali dijernihkan.

Menurutnya, tindakan tersebut perlu dilakukan setelah terdedahnya satu persatu elemen campur tangan bermotif politik dalam kes berkenaan.

“Badan Perhubungan Umno Negeri Perak menzahirkan kesyukuran atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini yang melepaskan Presiden terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram,” katanya.