Tak benar Zahid akan undur sebagai presiden

KHABAR angin mengatakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno kepada bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana masalah kesihatan, adalah tidak benar.

Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Lokman Noor Adam berkata, tidak pernah timbul soal Ahmad Zahid akan meletakkan jawatan dan Timbalan Perdana Menteri itu pada bila-bila masa akan kembali bertugas seperti biasa selepas menjalani pembedahan.

Lokman juga mempersoalkan dakwaan penulis blog, Raja Petra yang mengatakan Hishammudin akan menjadi pemangku Presiden.

“Dalam organisasi politik, bila Presiden letak jawatan, Timbalanlah yang akan pangku. Timbalan letak jawatan, Naib Presiden pangku, selepas itu pegawai, majlis tertinggi (MT) dan seterusnya.

“Kalau semua barisan MT tiba-tiba hilang sekalipun, Hishammuddin Tun Hussein takkan boleh jadi Pemangku Presiden kerana keahlian beliau sudahpun digantung selama enam  tahun,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Raja Petra menerusi ciapan akaun X mendakwa Ahmad Zahid akan meletakkan jawatan kerana masalah kesihatan dan akan menyerahkan jawatan Pemangku Presiden kepada Hishammuddin.

Sebelum ini, Anak Ahmad Zahid, Datuk Nurul Hidayah memaklumkan keadaan kesihatan Timbalan Perdana Menteri baik selepas selesai menjalani satu prosedur pembedahan pada minggu lalu.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak berkongsi berita yang tidak sahih.

Minggu lalu tular dalam media sosial mengenai kesihatan Ahmad Zahid. – Utusan