Kita tak mungkin jadi negara sekular – Asyraf

MALAYSIA tidak akan sesekali menjadi negara sekular, kata Setiausaha Agung Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Bercakap di Chukai, beliau berkata tidak mungkin negara ini akan berubah menjadi negara sekular yang memisahkan pentadbiran negara dan negeri daripada agama Islam.

Beliau berkata dakwaan PAS kononnya pentadbiran Kerajaan Perpaduan sedang menuju ke arah menjadikan negara ini sebagai sebuah negara sekular adalah tipu semata-mata.

Apatah lagi, katanya, Kerajaan Perpaduan ini terbentuk dengan kehadiran ahli-ahli Parlimen Umno yang sudah tentu akan menentang habis-habisan sekiranya perkara itu ingin direalisasikan, seperti didakwa.

“Perjuangan Umno meletakkan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan. Malaysia boleh menjadi negara sekular sekiranya dua pertiga ahli Parlimen setuju untuk meminda Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Takkan orang Umno bengong begitu (untuk menyokong pindaan), takkan orang Islam dalam PKR bengong begitu? Takkan lapan Ahli Parlimen Parti Amanah Negara bengong begitu? Kita masih ada iman, kita masih ada Islam dalam diri kita,” katanya ketika berceramah di Kampung Chabang, Kerteh dekat sini, malam ini, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia menetapkan Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Dr Asyraf berkata negara ini juga mempunyai Raja-raja Melayu yang mempunyai kuasa sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing dan Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-wilayah Persekutuan.

“Kalau ikut puak PAS tipu rakyat di bawah (kononnya) negara ini nak jadi negara sekular, kita masih ada Raja-Raja Melayu. Jadi tak mungkin negara ini jadi negara sekular,” katanya.

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov dan 2 Dis masing-masing bagi pengundian awal dan hari mengundi.