Bung Moktar nafi Umno Sabah berpecah

KETUA Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan spekulasi pihak tertentu yang mendakwa Umno Sabah kini berpecah kepada dua kumpulan.

Beliau menyifatkan spekulasi itu sengaja dimainkan pihak terbabit untuk memecah belah kesatuan dalam Umno Sabah demi kepentingan politik mereka.

Sebaliknya, Bung Moktar berkata, Umno Sabah kekal sebuah parti yang kuat dengan disokong semua pemimpin dan ahlinya di seluruh negeri.

Katanya, jika adapun kumpulan dalam Umno Sabah, ia bukan kerana berbecah, sebaliknya diwujudkan untuk melaksanakan tugas tertentu demi kepentingan parti.

“Memang UMNO Sabah ada beberapa kumpulan, tapi bukannya berpecah dari segi kepemimpinan. Kita ada beberapa kumpulan pemikir yang akan merangka pelan strategi berkesan bagi memenangi hati rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian sebagai mengulas andaian pihak tertentu kononnya pemimpin UMNO Sabah berpecah selepas sekumpulan wakil rakyatnya dilihat menemui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini.