Zahid akan kembali bertugas, kata PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan tahap kesihatan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini bertambah baik dan bakal kembali bertugas tidak lama lagi.

Anwar berkata, beliau berkesempatan menziarahi Ahmad Zahid di kediamannya sebelum hadir pada majlis perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) di Putrajaya 2023 Sabtu lalu.

“Saya ingin menyampaikan salam daripada Ahmad Zahid yang sekarang Alhamdulillah telah bertambah sihat.

“Kalau ikutkan dia nak datang, tetapi saya bagi arahan tak boleh hadir sebab dia perlu masa untuk berehat sedikit,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memuat naik menerusi hantaran di aplikasi X mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang sudi hadir ziarah sebelum ke karnival itu.

“Insya-Allah, tidak sabar untuk kembali bertugas, kembali memberikan yang terbaik untuk menjalankan amanah yang ditaklifkan.

“Moga jalinan ukhwah ini terus berkekalan dan mendatangkan kebaikan bersama demi rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN