Malaysia sifatkan PBB gagal di Gaza

MALAYSIA mendesak negara-negara terbabit mengambil tanggungjawab ke atas pembunuhan di Gaza selepas Bangsa-Bangsa Bersatu gagal mencapai kata sepakat bagi menghentikankekejaman Israel dalam perang yang berlarutan lebih 100 hari itu.

Tegas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Malaysia turut mengutuk perpindahan secara paksa rakyat Palestin oleh tentera penjajah Israel.

“Malaysia menuntut Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

“Kami mengalu-alukan dan menyokong keputusan oleh Afrika Selatan untuk memulakan prosiding terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Kurangnya akauntabiliti atas jenayah perang Israel, menjejaskan legitimasi undang-undang antarabangsa dan usaha ke arah menamatkan pendudukan yang menyalahi undang-undang di Palestin,” kata Mohamad yang mengetuai delegasi Malaysia pada Debat Terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Beliau berkata demikian selepas bertemu rakan sejawatnya dari Palestin, Riad Maliki di New York, semalam.

Jelas Mohamad, hak untuk hidup dengan aman dan selamat menjadi asas yang sangat penting dan perlu dihormati semua pihak.

Justeru, Malaysia menyeru supaya agensi PBB dan organisasi bantuan diberi akses untuk menyediakan keperluan penting tanpa
kelewatan dan halangan.