Terima kasih YDP Agong Al-Sultan Abdullah

UMNO menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah AlMusta’in Billah yang telah menyempurnakan tempoh pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.

Demikian kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan media hari ini berikutan tamat tempoh pemerintahan baginda hari ini.

“Sesungguhnya tempoh lima tahun sebagai Raja Pemerintah yang penuh dengan liku dan cabaran seperti pandemik COVID-19 dan kemelut politik memperlihatkan kebijaksanaan Tuanku dalam melaksanakan hak Perlembagaan.”

Ujar Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, negara dan rakyat sudah pasti terhutang budi Ke Bawah Duli Tuanku yang penuh dengan hikmah dalam memerintah watan.

“Pastinya tercatat dalam tinta sejarah negara bahawa dalam era pemerintahan Tuanku, Malaysia mampu dikemudi dengan jayanya dan terus dihormati di persada dunia.

“Dirgahayu Tuanku yang akan kembali bersemayam sebagai Sultan dan Raja
Pemerintah Negeri Pahang Darul Makmur.”

Dalam masa yang sama Ahmad Zahid merakamkan sembah takzim kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang akan dimasyhurkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII.

“UMNO juga menyembah takzim Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni
Almarhum Sultan Iskandar yang akan dimasyhurkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII.

“Berbekalkan pengalaman luas Baginda Tuanku dalam pemerintahan, semoga Malaysia akan terus gemilang dan maju jaya hendaknya.

“Daulat Tuanku, payung negara tempat teduhan rakyat jelata.”

Pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berangkat balik bersempena dengan tamat tempoh pemerintahan. – UMNO Online