MKT akan terus cari keadilan untuk Najib

MESYUARAT Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO hari ini menghormati keputusan Lembaga Pengampunan ke atas bekas Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Dalam satu kenyataan ringkas selepas mesyuarat yang bermula jam 11 pagi dan berakhir 2.45 tengah hari itu, MKT juga menyanjung keputusan dan hak mutlak Yang di-Pertuan Agong ke-16, al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Musta Billah Shah yang memperkenankan keputusan itu.

UMNO bagaimanapun, menyatakan kesedihannya walaupun ia mendukung Perlembagaan Persekutuan.

“UMNO akan tetap meneruskan usaha-usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden parti sesuai dengan laras undang-undang negara, di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung yang mahukan pembelaan Dato Seri Najib diteruskan,” mengikut kenyataan itu.

Ini kerana Najib dipercayai tidak mendapat pembelaan yang adil terhadap kesnya.

UMNO juga berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan sama-sama menjunjung semangat berkenaan.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.