Jangan pertikai keputusan Agong, kata Asyraf

UMNO menggesa agar tidak ada suara sumbang yang mempertikai keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini disebabkan ia kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita harapkan jangan ada suara-suara sumbang di luar sana yang mempertikaikan apa yang diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu dalam konteks Lembaga Pengampunan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan tertutup Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Pada Jumaat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 memutuskan hukuman terhadap Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, dalam perjumpaan tertutup yang berlangsung hampir dua jam, semua kepimpinan sepakat untuk bersatu hati meneruskan usaha pembelaan terhadap bekas Presiden Umno itu.

“Pada masa sama menjunjung titah terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai institusi yang sentiasa membela dan mempertahankan raja-raja Melayu.

“Kita hormati keputusan yang dibuat kerana Perlembagaan menyatakan bahawa ini adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong yang tak boleh dipertikaikan oleh sesiapa,” katanya.

Mengulas mengenai Tony Pua yang meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap ‘diskaun’ hukuman diberikan kepada Najib, Asyraf Wajdi berkata, bekas Setiausaha Publisiti DAP itu tidak mewakili kerajaan.

“Dia bukan mewakili kerajaan. Paling penting kita akan meneruskan laporan polis,” katanya.