Tak wujud gerakan guling Zahid, kata Khaled

UMNO menafikan terdapat gerakan menggulingkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kononnya didalangi ketua-ketua bahagian parti itu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau tidak tahu bagaimana dakwaan itu timbul ketika pucuk pimpinan parti sedang berusaha menyelesaikan isu berbangkit termasuk pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

“Surat kalau ditandatangani (ketua bahagian) pun, Presiden tak akan terguling.

“Jadi buat apa nak tandatangan surat. Mana ada,” katanya, semalam.

Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan hari ini turut menafikan dakwaan terdapat usaha menggulingkan Ahmad Zahid oleh ketua-ketua bahagian parti itu.

Ahmad Maslan dilaporkan berkata, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri sudah berusaha sebaiknya bagi mendapatkan pengampunan penuh terhadap Najib yang juga bekas Presidennya yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 dilaporkan memutuskan hukuman ke atas Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Dalam kenyataan Urusetia Lembaga Pengampunan memaklumkan, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Ditanya kemarahan akar umbi Umno susulan keputusan Lembaga Pengampunan itu, Mohamed Khaled yang juga Ketua Bahagian Umno Pasir Gudang dan Menteri Pertahanan berkata, Lembaga Pengampunan adalah hak mutlak dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya.

“Umno memahami dan mengakui ia (Lembaga Pengampunan) adalah kuasa mutlak budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Walau pun ada ribut dan desakan berlaku, ia di luar apa yang kita boleh lakukan. Umno menerima dan menghormati keputusan berkenaan.

“Bagaimanapun kita akan terus berusaha memohon pengampunan untuk Datuk Seri Najib Razak,” katanya.